MARHABAN YA MARHABAN

PEWANGI MUNIF HIJJAZ terbaru DI PASARAN (klik)

MAKLUMAT SAHABAT ILMU STORMREADERS (klik gambar)

Friday, April 14, 2006

Kelahiran Rasulullah S.A.W membawa petunjuk

Rasulullah S.A.W telah meninggalkan kita 1437 tahun yang lalu. Kita tidak pernah melihat wajah Baginda. Tidak juga melihat akhlak terpujinya, tidak pernah mendengar kata-kata kebenaran yang keluar dari mulutnya, tidak pernah bertutur dengannya. Hanya melalui penulisan dan penceritaan ulama yang diambil daripada para sahabat Radiallahu Anhum sampai kepada kita.

Baginda dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal 570 Masihi dari keluarga dan kaum yang terpilih serta mulia keturunannya. Bapa Baginda, Abdullah bin Abdul Muthalib merupakan seorang pemuda yang berakhlak mulia. Ibunya, Aminah juga merupakan perempuan yang bermaruah dan baik.

Baginda kehilangan kasih sayang ibu bapa semasa Baginda masih kecil. Baginda tidak pernah melihat wajah ayahnya. Manakala ibunya pula meninggal dunia semasa Baginda berumur 6 tahun. Jadilah Baginda anak yatim piatu. Namun Baginda tidak keseorangan. Datuk dan bapa saudaranya mengambil alih urusan mendidik dan menjaga Baginda.

Usia remaja Baginda diisi dengan perkara yang berfaedah. Baginda tidak seperti remaja yang lain yang hanya mahu bergembira. Baginda merupakan remaja yang bertanggungjawab dan tahu berdikari. Baginda mengambil upah menternak kambing untuk membantu bapa saudaranya Abu Talib. Baginda juga berniaga dan pernah mengikuti rombongan niaga ke Syam.

Peribadi dan akhlak mulia Baginda S.A.W menjadi sebutan ramai, Baginda sangat amanah. Sopan santun dan berbudi mulia. Baginda digelar Al-Amin yang bererti Orang yang amanah dan jujur. Pernah suatu ketika Baginda menyelesaikan masalah besar yang hampir membabitkan peperangan sesama Qabilah. Keputusan yang dihakimi oleh Rasulullah itu sangat tepat dan adil serta memuaskan hati semua pihak. Perkara itu membuatkan Baginda semakin dihormati dan disanjungi.

Ketika berusia 40 tahun, Baginda mula menyendiri dan bertafakur di gua Hira’. Sehinggalah pada bulan Ramadhan turun wahyu pertama dari Surah Al-Alaq yang dibawa oleh Malaikat Jibril Alaihi Salam. Penurunan Wahyu ini mengesahkan perlantikan Baginda Sebagai Nabi dan Rasul Allah.

Selepas itu bermulalah tugas Baginda untuk menyampaikan petunjuk dan jalan kebenaran mengEsakan Allah Taala.

Baginda menghadapi pelbagai ujian dan cabaran untuk menyampaikan dakwah Islamiah. Baginda pernah ditawarkan harta benda, pangkat kedudukan dan wanita. Tetapi semua itu tidak menarik minat Baginda. Baginda menolaknya dengan sabda Baginda : sekiranya mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku tinggalkan urusan agama ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya.

Setelah tawaran itu ditolak oleh Baginda, kaum Musyrikin mengambil pendekatan keras dengan tujuan untuk melemahkan dakwah Baginda. Rasulullah pernah diancam bunuh, dipenjara dan buang daerah, tetapi perancangan Allah melepaskan Baginda dari ancaman itu.

Setelah berhijrah ke Madinah, sinar Islam terus berkembang dengan pesat. Semakin ramai yang memeluk Islam. Semakin luas kawasan yang ditadbir oleh Baginda. Lalu makin tersebar keamanan dan kesejahteraan.

Kehadiran Rasulullah ke muka bumi membawa rahmat kepada semua. Perkara ini diperjelaskan oleh Allah Taala dalam Firman-Nya Tidaklah Aku utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam.

Rahmat yang dibawa oleh Baginda bukan sahaja terhad kepada manusia pada zaman dahulu sahaja malahan turut dirasai oleh manusia selama-lamanya sama ada yang beriman ataupun tidak. Rahmat itu juga dirasai oleh semua makhluk di bumi ini.

Mengenang kembali hari kelahiran Baginda S.A.W. ini marilah kita kembali merenungi Sirah Nabi dan mengambil tauladan serta pedoman yang ditinggalkannya. Marilah sama-sama kita bersyukur dan berterima kasih kerana turut sama mendapat nikmat Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad.

Buktikan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul dengan mentaati suruhan dan menjauhi segala larangan. Berdoalah agar kita akan dihimpunkan dan bertemu dengan Rasulullah di Syurga kelak. Ameen

Risalah ini menjadi edaran di KOLEJ TEKNOLOGI MULIA ANTARABANGSA, Taiping

Friday, April 07, 2006

solat

Solat merupakan satu ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beragama Islam. Perintah ini diterima oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika peristiwa Isra’ Dan Mikraj.

Apabila arahan ini disampaikan kepada umat Islam maka mereka mula bersolat mematuhi perintah Allah Taala. Namun mereka terpaksa bersolat dengan cara sembunyi dan ditempat tertutup kerana bimbang perbuatan mereka akan dilihat dan diganggu oleh orang Musyrikin. Walaubagaimanapun selepas Umar Al-Khattab memeluk Islam, orang Musyrikin Mekah tidak lagi berani mengganggu Ibadah orang Islam.

Ibadah Solat amat diambil berat oleh Rasulullah, bahkan solat adalah rukun Islam yang kedua. Rasulullah menggambarkan bahawa Solat ini adalah tiang agama seperti sabdanya :
Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka sesungguhnya dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkannya (solat) maka ia telah meninggalkan agama.

Solat merupakan cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dengan bersolat, seolah kita berkomunikasi dengan Tuhan kita. Setiap bacaan dalam solat merupakan doa dan tasbih kepada Allah. Solat juga dapat menenangkan hati yang duka lara. Selain dari itu, solat juga dapat menjadi pendinding diri dari melakukan kemaksiatan. Firman Allah Taala : dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar.
Solat perlu dilaksanakan pada masanya. Allah telah menentukan waktu yang khusus untuk setiap solat. Maka kita perlu mengikuti dan melaksanakan pada waktunya. Solat pada bukan masanya adalah tidak sah. Sebaik-baik solat ialah pada awal waktu.
Allah memberi 27 ganjaran pahala bagi orang yang mendirikan solat secara berjamaah atau berkumpulan. Sedangkan orang yang solat bersendirian hanya mendapat satu pahala sahaja. Pahala akan bertambah dengan kedudukan kita pada saff yang paling hadapan dan solat yang khusyuk.

Disamping menyediakan pahala bagi yang solat, Allah juga menjanjikan azab kepada orang yang meninggalkannya. Antara azab yang akan ditimpakan keatasnya ialah hilang keberkatan umur, hilang tanda orang soleh dan doa tidak diterima. Manakala ketika matinya pula akan diseksa sehingga sampai hari kiamat.

Melihat kepada suasana ketika ini umat Islam mula lalai dan cuai dalam menjalankan kewajipan solat. Mereka mengambil mudah urusan solat ini. Ada yang hanya menunaikan solat Jumaat dan ada yang hanya solat dua kali setahun. Ada juga yang tidak tahu lansung untuk bersolat. Begitu malang orang yang mengaku Islam tapi tidak tahu solat. Akibatnya hidup tidak ada keberkatan, hati penuh kecelaruan, fikiran kusut, kelakuan tidak sopan. Perkara ini adalah akibat meninggalkan ibadah yang sepatut nya dilakukan oleh seorang muslim.

Sementara nyawa masih dikandung badan, ruang untuk kembali melunaskan hutang solat kepada Allah masih terbuka. Solat yang pernah ditinggalkan sama ada sengaja atau tidak perlu diganti segera. Hutang ini tidak akan lupus dan akan ditanya apabila mengadap mahkamah Agung Allah dipadang mahsyar kelak.

" Sesungguhnya Yang Halal dan Yang Haram Itu Nyata "

AMARAN

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP